Thursday, June 19, 2014

Tips Panduan Merawat Hati




Mendidik hati adalah satu usaha yang berterusan dan istiqamah. Oleh itu, hati perlu dididik dengan amalan-amalan yang boleh melembutkan hati seperti zikir dan sebagainya.
Seorang ulama yang bernama Ahmad bin Hasd ditanya, amalan apakah yang paling afdal, beliau menjawab:
"Apabila seseorang berusaha menjaga rahsianya, menjaga hati dan jiwanya agar tidak berpaling dari Allah SWT"
Setiap muslim wajib memperhatikan hatinya, berusaha memperbaiki hatinya, menegakkan untuk sentiasa berada ditempat yang dicintai dan diredhai Allah swt serta membersihkan hati dari segala perkara yang tidak mendapat keredhaan Allah swt. Antara amalan-amalan yang digalakkan ialah sentiasa mengikhlaskan diri dalam ketaatan kepada Allah dan kerja-kerja agama. Kedua selalu mengamalkan sifat nasihat menasihati, setia kepada Allah, berbuat baik kepada manusia lain, membersihkan hati terhadap sifat dengki, iri hati dan lain-lain. Ketiga, kita harus berusaha menghadirkan perasaan takut kepada Allah swt dalam solat dan zikir. Berusaha mengkhusyukkan hati kita pada saat terdengarnya ayat-ayat Allah. Seterusnya kita memantapkan lagi rasa tawakkal kita kepada Allah swt dengan menjadikan Allah sebagai tempat bergantung diri sepenuhnya.  Kelima, meningkatkan rasa takut kepada Allah sewaktu kita bersendirian ataupun ketika ditengah-tengah ramai orang. Keenam, sentiasa redha kepada Allah dengan redha yang sebenarnya. Ketujuh, menyediakan diri untuk menerima ujian berat atau ringan daripada Allah dan sentiasalah ingat bahawa Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hambanya. Kita juga harus sentiasa meningkatkan rasa cinta kepada Allah dengan cinta yang sepenuhnya. Merindui pertemuan dengan Allah dalam solat dan berdoa memohon keampunan dan rahmatnya.
Seorang ulama yang bernama Abu hafsah telah berkata,
”Apabila engkau duduk di hadapan manusia, maka hendaklah kamu menasihati hati kamu, jangan kamu tertipu dengan banyaknya orang di hadapan kamu, kerana sesungguhnya mereka itu hanya melihat dan memperhatikan kamu secara lahiriahmu, namun Allah selalu melihat hatimu".
Panduan untuk para ahli terapi dan untuk diri kita, bagaimana harus kita lakukan apabila berdepan dengan suasana kita menghadapi kemurungan, tekanan jiwa dan keterasingan. Sewaktu kita sudah buntu untuk membuat sebarang tindakan dan keputusan.
Panduan pertama,kita harus memahami realiti apa sebenarnya yang sedang kita alami, contohnya kematian ahli keluarga, musibah, penceraian, kehilangan jawatan, kemalangan dan berlaku kecacatan anggota, kehilangan harta, dianiaya dan sebagainya. Realiti dan kenyataan yang harus diterima adalah perkara itu telah berlaku mengikut takdirNya.  Suka atau tidak, sukar atau senang, kita harus menerima hakikat bahawa setiap yang berlaku mempunyai hikmah disebaliknya.

Panduan kedua, kita perlu kembali mengenali siapa diri kita, siapa pencipta kita, siapa mereka yang berada disekitar kita. Kita perlu memahami, manusia-manusia yang berada disekeliling kita adalah pelakon-pelakon cerita yang memegang watak masing-masing untuk menghasilkan sebuah cerita kehidupan kita sebenarnya. Ia adalah reality yang Allah berkehendakkan itu berlaku.
Panduan ketiga, kita perlu memahami keadaan yang sedang berlangsung sekarang dan disekitar. Di mana terdapat perubahan-perubahan suasana yang perlu kita fahami, sertai, ikuti dan hayati. Contohnya perubahan dari sudut nilai-nilai sosial, perubahan struktur ekonomi masyarakat, perubahan zaman dan sebagainya.  Perubahan tersebut merupakan sunnah alam dimana tiada yang kekal kecuali Allah. Kita sebagai hamba perlu memahami peranan untuk menhgadapi perubahan-perubahan tersebut.

Panduan keempat, kita perlu meyakini bahawa Allah itu maha kuasa, maha mengetahui, maha adil, maha pengasih, maha penyayang dan semua manusia diebri peluang untuk bertaubat dan mendekatkan diri kepada Allah.  Tujuan utama kehiudpan kita adalah untuk mendapatkan keredhaan allah swt.  Kita perlu tahu bahawa Allah sentiasa memandang kita, melihat perilaku kita, mendengar kita bercerita, berceloteh, marah, ketawa dan gembira. Allah sentiasa mendengar rayuan, permohonan, hasrat hati dan doa dari setiap hamba-hambanya.
Panduan kelima, kita perlu faham dan tahu, bahawa jalan untuk mencari ketenangan, mententeramkan jiwa adalah jalan-jalan kebaikan. Menderma, memberi senyuman, menghormati orang lain, bertadarus, bersedekah, membantu orang lain, membuang sifat buruk adalah jalan-jalan pembersihan jiwa.

Apa yang ingin dijelaskan adalah sebagai orang mukmin, kita diajar untuk melihat hikmah. Setiap yang terjadi dan berlaku pasti ada hikmah yang dijanjikan. Hikmah bermaksud bijaksana atau tindakan yang menarik. Allah swt telah memerintahkan kepada kita agar menyeru kepada jalanNya dengan menggunakan hikmah.
“Serulah kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik. (An-Nahl: 125).
Hikmah yang dimaksudkan, segala bentuk kejadian dan takdir Allah swt kepada hambanya merupakan satu kejadian dan takdir yang mempunyai kebaikan yang tepat dan sesuai dengan keadaan kita. Allah swt telah menciptakan kita sebagai manusia maka sudah tentu lagi pasti Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita.

Dalam membincangkan apakah penawar terbaik bagi hati adalah dengan melihat kasih sayang Allah sepanjang masa kepada kita. Allah swt yang memiliki sifat Ar Rahman dan Ar Rahim sentiasa menunjukkan rasa kasih dan sayang kepada setiap hambaNya.
Jika diukur kasih sayang Allah ia terlalu luas dan tidak cukup ruang untuk kita fikirkan di dalam minda.

Di kala malam yang sunyi sepi bani insan
tengah tenggelam dalam tidur dan mimpi
musafir yang malang ini tersentak bangun
pergi membasuh diri
untuk datang mengadapMu Tuhan.
Lemah lututku berdiri di hadapanMu
sedu sedan tangisku keharuan
hamba yang lemah juga mendekat
bersimpuh di bawah Duli Kebesaran.
Tuhan
Hamba tidak tahu pasti
bagaimana penerimaan-Mu
di kala mendengar pengaduan hamba
yang penuh dosa dan noda ini
Dalam wahyu yang Engkau nuzulkan
Engkau berjanji untuk sedia memberi menerima pengaduan
dan sudi memberi keampunan
Dan Muhammad Rasul-Mu yang mulia itu
ada mengatakan:
Ampunan Tuhan lebih besar dari kesalahan insan
hanba percaya pada tutur kepastian itu
sebab itu hamba datang wahai Tuhan
bukan tidak redha dengan ujian
cuma hendak mengadu pada-Mu
tempat hamba kembali nanti
memohon sekinah,maghrifah dan mutmainna.
~ Imam Bukhari


Hati kedudukan letaknya di bahagian dada. Ia sesuatu yang mempunyai tangkai dan terletak di tengah-tengah paru-paru. Apabila kita berasa sakit hati kepada seseorang, hati zahir kita terasa sakit dan mencucuk-cucuk. Apabila kita terasa marah, terasa dada kita berombak kencang dan kemarahan kita membuak-buak. Tangkai yang memegang hati dinamakan pancreas turut terasa sakit bagai disiat-siat dan kulit hati kita bagaikan dirobek-robek tanpa ihsan. Bila dalam keadaan inilah suasana hati kita dipengaruhi oleh nafsu dan ia menjadikan kita teremosi. Rasa sakit hati boleh menyerang semua manusia. Kita bagaikan ingin melepaskan kemarahan yang sedang bermaharajalela. Jika tidak dilepaskan kita bagaikan tidak keruan dan gelisah. Inilah yang dinamakan sakit hati.
Penyakit sakit hati menyebabkan akal kita kadang-kadang tidak dapat berfikir secara waras dan jika kita ikutkan kata hati, ia boleh membawa mati. Ini adalah peribahasa yang selalu dikaitkan dengan hati.
Kita mungkin boleh marah kepada takdir atau marah kepada orang yang menyebabkan kita menjadi sakit hati. Tetapi untuk apa kita marah?. Apakah dengan melepaskan kemarahan maka hati kita akan berasa aman. Apakah dengan dapat membalas dendam maka hati kita akan mendapat ketenangan. Jawapannya tentu tidak. Ketenangan hati hanya akan dapat dengan mengingati Sang pencipta Hati iaitu Allah swt. Keamanan hati hanya akan ditemui dengan menyebut kalimah-kalimah suci yang mencairkan kemarahan kita. Kalimah suci dari Allah swt ibarat air yang akan menyirami sakit hati disebabkan api kemarahan yang sedang marak.
Hati inilah yang perlu dirawat. Merawat hati bukan dengan herba-herba tradisional atau perubatan moden dan canggih. Merawat hati mesti kembali kepada Allah swt yang lebih mengetahui selok belok dan jenis-jenis penyakit hati. Pencipta hati telah menyediakan ramuan mujarab dan kaedah merawat bagi mengubati hati yang sedang sakit.

Siapa doktornya?. Doktornya adalah kita sendiri yang wajib mahir bagaimana membedah hati. Membedah hati mesti menggunakan teknik-teknik yang disediakan. Hati perlu diasingkan dari empunya jasad. Hal ini kerana kejadian asal hati adalah terasing dari tubuh jasad yang berasal dari tanah lumpur yang kotor dan hina.
Pertama sekali, rawatlah hati dengan menggunakan pencegah kuman-kuman nafsu dari syaitan yang membuat kotor dan onar dalam hati kita. Ramuannya adalah dengan merenung apakah tujuan kita dihidupkan di dunia yang fana ini.  Fikirkan betapa agung kejadian kita sebagai seorang manusia bermula dari kejadian persenyawaan ovari seorang ibu dan sperma seorang ayah. Kemudian kita berada di dalam rahim ibu selama 9 bulan 10 hari dan lahirlah kita yang bergelar manusia.
Merenung mengapa kita membesar dan membesar serta apa tujuan kita hidup di dunia fana ini. Apakah kita berpijak di bumi Allah ini hanya untuk bersuka ria dan berseronok dengan dugaan dan godaan yang berada di hadapan mata kita. Apakah tugas hakiki kita sebagai manusia, adakah sekadar menjadi manusia yang bergelar lelaki atau wanita, ibu atau ayah, anak atau adik, majikan atau pekerja, raja atau hamba. Tugas sebenar kita adalah khalifah yang bermaksud seorang pemimpin. Pemimpin di sini tidak bermaksud wajib menjadi seorang pemimpin Negara, tetapi pada hakikatnya kita adalah pemimpin kepada diri kita sendiri, keluarga dan kehidupan kita.
Apakah tujuan Allah menurunkan Al Quran, menurunkan Rasul Utusan Agung sebagai pembawa berita gembira iaitu janji syurga yang indah bagi mereka yang mengikut jalan kebenaran dan Rasul sebagai pemberi amaran keras iaitu janji neraka yang panas bagi mereka yang berbuat kejahatan.
Hati akan lembut dengan fikir dan zikir, mengucapkan kalimah-kalimah suci dan agung akan mengembalikan roh cahaya kebahagian. Rawatlah hati kita dengan bibir yang basah dengan nama-nama Allah, memuji kebesaran Allah. 
Dengan itu, usahakanlah agar dapat melahirkan iman, iman yang sempurna dan sejahtera. Iman yang kukuh dan kental. Iman yang tidak akan terumbang-ambing. Iman yang akan membajai hati dan kehidupan.
Merawat hati adalah dengan amalan-amalan yang diwajibkan dan yang disunatkan. Solat adalah tiang sebuah agama yang ada dalam genggaman kita. Solat adalah suatu kewajipan kepada seluruh umat Muhammad namun kajilah dari sudut falsafah solat itu sendiri. Mengapa hikmah kita diwajib menunaikan solat lima waktu sehari semalam. Sudah tentu lagi pasti, disebalik panggilan agung itu tersimpan seribu satu hikmah yang maha besar. Ia adalah penawar segala penyakit zahir dan batin, penyakit resah dan gelisah, penyakit moden dan tradisional. Kajian sains alaf 21 telah menunjukkan betapa mendirikan solat mempunyai persepktif lengkap dalam menyempurnakan sebuah kehidupan. Ia bukan satu kewajipan semata-mata tetapi menyediakan satu ruang penawar kepada seluruh umat manusia.
Hati yang segar dan sihat boleh diperolehi dari kehidupan yang menjurus kepada fitrah kejadian manusia itu sendiri. Fitrah kejadian manusia oleh sang pencipta agung ini mewajibkan manusia kembali kepada kemahuan untuk hidup dengan rasa bertuhan, hidup dengan mengesakan Allah, hidup dengan menjalankan tanggungjawab sebagai khalifah. Inilah fitrah yang telah ditetapkan kepada setiap manusia.
Mengapa kita wajib menyucikan hati dan membersihkan jiwa dari kekotoran dosa adalah kerana di dalam firman Allah swt:
”Sesungguhnya orang-orang yang musyrik itu najis”.
(At-Taubah:28)
Oleh itu, jelas menunjukkan barangsiapa yang melakukan maksiat dan musyrik itu, ia adalah najis dan kotor. Menurut Ibnu Katsir, firman Allah swt tersebut adalah untuk menunjukkan bahawa kaum musyrikin itu adalah najis dan ditegaskan pula dengan sebuah hadis Sahih yang menyatakan:
Orang Mukmin itu tidak najis”.
( Hadis Riwayat Bukhari Muslim)
Hal ini lagi menjelaskan islam itu adalah agama yang selamat dan suci. Ia kembali kepada roh yang suci dan bercahaya. Siapa yang mempunyai pedoman dan pentunjuk kebenaran maka padanya ada keimana yang nyata dan jernih. Firman Allah swt:
 “Barangsiapa yang dikehendaki Allah untuk diberi petunjuk, nescaya Dia melapangkan dadanya untuk (memeluk agama) Islam. Dan barangsiapa yang dikehendaki Allah kesesatannya, nescaya Allah menjadikan dadanya sesak lagi sempit, seolah-olah dia sedang mendaki ke langit. Begitulah Allah menimpakan seksa kepada orang-orang yang tidak beriman”.
 (Al-An’am:125).
Allah swt berfirman:
”Di dalamnya ada orang-orang yang ingin membersihkan diri. Dan Allah menyukai orang-orang yang bersih”.
(At-Taubah:108).
Allah berfirman:
”Hai orang-orang yang beriman, apabila kalian hendak mengerjakan shalat, maka basuhlah muka kalian dan tangan kalian sampai siku, dan sapulah kepala kalian dan(basuh) kaki kalian sampai kedua mata kaki, dan jika kalian sakit atau dalam perjalanan atau kembali dari tempat buang air (kakus) atau menyentuh perempuan, lalu kalian tidak memperoleh air, maka bertayamumlah dengan tanah yang baik (bersih); sapulah wajah kalian dan tangan kalian dengan tangan itu. Allah tidak hendak menyulitkan kalian, tetapi Dia hendak membersihkan kalian dan menyempurnakan nikmat-Nya bagi kalian, supaya kalian bersyukur”.
(Al-Maidah:6)



No comments:

Post a Comment